Selasa, 1 November 2016

Kata Rasulullah s.a.w : 3 wasiat untuk membersihkan jiwa :

1) kuatkan hati-sabar dan lawan sifat lemah
2)Istikharah agar Allah beri petunjuk. Baca dan fahami doanya
3)Bila rasa ujian kita berat, ada lagi ujian yang lebih berat untuk orang lain.Lihat orang yang dibawah kita, bukan orang yang di atas kita.

Khamis, 11 Ogos 2016

syurga itu terlalu mahal harganya memerlukan perjuangan yang sangat pahit


     Setiap orang menginginkan syurga idaman. Syurga yang diidamkan mengandungi pelbagai nikmat Allah S.W.T yang tidak terhingga. Sesiapa sahaja yang mendengar kenikmatan syurga Allah pasti berangan-angan untuk memilikinya. Di dalam surah Ar-Rahman ayat 48 menceritakan pelbagai jenis pepohonan dan buah-buahan di dalam dua buah syurga. Diceritakan lagi dalam surah Ar-Rahman ayat 54, penghuni syurga bakal bersandar di atas permaidani yang diperbuat daripada sutera yang sangat tebal. Manakala buah-buahan daripada dua buah syurga tersebut dapat dipetik dari arah yang sangat dekat. Ditambah lagi ayat 66 menceritakan di dalam dua buah syurga ada dua buah mata air yang memancar. Ayat 68 menjelaskan di dalam dua syurga itu terdapat buah-buahan, kurma dan delima. Betapa takjubnya mendengar pelbagai kenikmatan yang dijanjikan Tuhan untuk hambaNya yang beriman dan patuh segala suruhan dan meninggalkan laranganNya.

       Hamba yang ingin syurga idaman haruslah sabar dalam mengerjakan segala perintahNya agar kesabaran yang dimiliki itu dipandang Allah dengan nilai yang tinggi dan penuh kecintaan. Selain itu, seseorang hamba yang inginkan syurga idaman haruslah bersabar terhadap segala ujian yang diberi Allah Ta'ala. Tekun berdoa kepadaNya, lidah harus sentiasa basah menyebut namaNya, rezeki yang dilimpahkan kepadanya mestilah dibalas dengan kesyukuran yang tidak terhingga. Di dalam Al-Quran surah Ibrahim ayat 7 menerangkan "barangsiapa  yang bersyukur akan ditambahkan nikmatnya dan barangsiapa yang mengingkari nikmatNya, maka azab Allah sangatlah pedih". Begitulah Al-Quran menjelaskan setiap perbuatan yang dilakukan manusia akan ada balasannya tersendiri samada yang buruk atau yang baik. Menguatkan lagi keterangan, surah Al-Zalzalah ayat 7 dan 8 menerangkan "barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sedikitpun akan mendapat balasannya dan "barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sedikitpun akan mendapat balasannya juga."

      Bukan mudah untuk mendapat syurga idaman andai seseorang hamba amat sukar untuk melakukan amalan. Bagi mereka yang merasakan amalan baik itu merupakan beban bagi mereka, maka tiada di sisinya dijanjikan syurga. Bagi mereka yang bercita-cita tinggi mendapatkan syurga idaman sedangkan hati mereka lalai daripada mengingati Tuhan, mereka ini ibarat melepaskan emas di depan mata. Begitu banyak perkara mudah di depan mata yang boleh menjuruskan seseorang ke arah syurga. Memberi orang makan, pakai dan tempat tinggal adalah sebahagiannya. Menziarahi orang sakit, melayan tetamu dengan baik juga merupakan peluang ke arah syurga. Tidak cukup dengan itu, antara amalan yang lebih mudah lagi ialah mendermakan duit kepada yang memerlukan walaupun satu ringgit. Bukan itu sahaja, mendengar majlis ilmu juga memudahkan seseorang mendapat syurga. Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah memudahkan baginya satu jalan menuju ke syurga".


~fikrahamba~
nor madiha mohd noor
sk saint columba, miri